INIKAH CINTA?
Masih melekat bayangan diri
Menyusuri relung-relung hati
Masih ku ingat peluk dan janji
Bagaimanapun kau takkan pergi
“Kita takde jodoh…..” selamba Aiman berkata.
Ah! Itu hanya alasanmu Kenapa setelah hampir dua tahun bersama, baru sekarang memutus kasih? Terasa baru semalam kau mengata cinta. Aku takkan lupa, kau cinta pertama.
“Tapi……..” belum sempat menyudahkan kata, Aiman terus menyampuk.
“Tiada gunanya memaksa hati, cukuplah sampai disini” tidak sedikit pun dia menoleh Ayu disebelahnya.
Mengapakah sayangku mengapa
Engkau pergi tanpa satu kata
Mengapakah sayangku mengapa
Tidakkah kau tahu aku masih cinta
“Ayu sayangkan abang tak?” Ayu menunduk bisu.
“Ayuuu………” bahunya disentuh perlahan, dia mendongak memandang.
“Cintakan abang?” kali ini dia mengangguk, tersenyum malu. Terasa banyak benar bunga berkembangan dihati. Ini cinta pertama, biarlah ia juga yang terakhir. Bertahun mengenali Aiman, dia takkan silap menilai hati budi. Aiman, kitakan bahagia…
“Abang harap kita tetap seperti dulu, macam biasa depan papa dan mama” Aiman melirik.
Tanpa kerelaan, Ayu melemparkan senyuman. Senyum dalam terpaksa, tiada manisnya.
Mengapa awal ada akhirnya
Tapi duka tak ada batasnya
Luka hati yang tak kunjung jera
Kutunggu kau sampai akhir dunia
Sepanjang perjalanan, Ayu terus membisu. Baginya, tiada lagi yang hendak diperkatakan. Kalau boleh, mahu saja dia menangis, mujur hatinya melarang. Dia mahu nampak tabah dimata Aiman yang kelihatannya seperti tiada apa yang berlaku.
“Ayu…….marilah minum bersama” Puan Suhara mempelawa.
“Takpelah mama, Ayu nak berehat. Letih.”
“Mana Aiman? Tak balik bersama ke?”
“Ada kat luar tu haaa…..Nak cuci kereta. Okeylah ma….. Ayu naik dulu, nak rehat.” Ayu melangkah pergi menuju kebiliknya. Daun pintu ditutup perlahan. Serentak itu, tanpa dapat ditahan-tahan air matanya mengalir deras.
Walau apa pun kukan tetap bertahan. Takkan kubiar mereka tahu dukaku. Dia menangis semahu-mahunya. Saat itu, bayangan ayah dan ibunya kembali menjelma…..
Tahun 1992. Dia takkan lupa bagaimana perasaan kehilangan orang yang disayang. Dia merasakan betapa hidup menyeksa dirinya. Kiranya dunia terlalu kejam, meragut orang tuanya dikala dia masih memerlukan belaian. Hendak tak hendak dia akhirnya terpaksa mengikut Encik Nizam, sahabat baik ayahnya. Kalau tak, pada siapa lagi hendak menumpang kasih. Ayah dan ibunya tiada saudara terdekat. Dalam meniti usia lapan tahun, dia belajar berkongsi kasih.
Kalau dulu, hanya dia anak emas ayahnya, tapi kini dia cuba memujuk hati manjanya. Encik Nizam yang akhirnya dipanggil papa, juga punya seorang anak yang dikala itu sudah menginjak 10 tahun. Walaupun sudah pandai membentuk diri, perhatian papa dan isterinya pada satu-satunya anak lelaki mereka tak pernah berkurangan. Walau papa dan mama sangat sayangkan dirinya, namun jauh disudut hati, dia masih merindukan ayah dan ibu. Hanya potret keluarga menjadi penawar hati dikala dilanda duka. Kini dia terluka lagi.rasa kehilangan kali yang kedua…..
Semalaman dia tak boleh lelap, asyik memikirkan perkara siang tadi. Wajah Ayu dimana-mana.
“Kita takde jodoh…..”hanya Tuhan yang tahu dia tak bermaksud melukai Ayu, namun dia terpaksa demi menguji sebuah cinta.
“Tapi…..”
“Tiada gunanya memaksa hati, cukuplah sampai disini” lancar saja mulutnya berbicara. Lain dimulut, lain dihati. Ah! Biarlah, lambat laun dia pasti mengerti. Pandangannya dihalakan kedepan. Bimbang kalau melihatkan Ayu, hati lelakinya akan tersentuh. Ayu, aku punya alasan sendiri. Walau apa terjadi, kukan tetap setia pada cinta kita. Ayu…aku masih cinta.
“Bila besar nanti, kita bina istana yang paling cantik sekali. Macam yang ini. Tinggal sama-sama, main berdua. Tentu seronokkan?” Ayu ketawa kecil mendengar kata-kata Aiman. Mereka sibuk menyiapkan istana angan daripada pasir.
“Tapi kenalah buat yang besar. Boleh bawa papa dan mama tinggal dengan kita” Aiman hanya mengangguk, mengiakan. Tangannya ligat memainkan peranan.
Ayu tersenyum sendiri. Kenangan itu hadir tanpa diminta. Terasa begitu cepat mereka dewasa, meninggalkan zaman kanak-kanak yang dirasakannya serba indah. Bermain istana pasir angan mereka berdua. Dunia serba sempurna. Tiada apa yang merunsingkan hati, tiada apa yang pelu difikirkan. Semuanya tinggal kenangan. Istana pasir angannya juga musnah. Ayu menyeka kekaca yang mula membasahi pipi. Kini,hanya air mata jadi perasa. Walau apa pun, dia kan tetap mengharap pelangi cinta Aiman menerangi dunianya semula. Tapi, biarlah dia kembali dengan rela hati,bukan kerana simpati melihatnya sebegini. Biar hatinya luka seribu, namun untuk menagih simpati Aiman, bukan dia orangnya.
Entah mengapa dihadapan papa dan mama, Aiman begitu mesra seperti selalu, seperti dulu-dulu. Mengusiknya, membuatnya ceria. Dia agak terhibur dengan telatah Aiman waima ia sekadar lakonan. Namun entah kenapa, jauh disudut hati dia mula membenci Aiman yang dirasakannya penuh kepuraan. Semuanya sekadar menutupi dari pengetahuan papa dan mama.
“Tepilah….” Eh, budak nie. Pagi lagi dah moody. Period kut? Dia menepi jua membiarkan si adik melepasi pintu. Tengok tu, siap jeling-jeling lagi. Aiman tegelak kecil.Kata orang benci tu tanda sayang. Dah memang sah Ayu memang sayangkannya. Bukan sayang pada seorang abang, tapi sayang sisayang.
Bencinya aku. Pagi-pagi lagi dah nampak muka. Dah jadi jaga pintu ke cik abang oiii… Siap gelakkan kita lagi. Mungkin dia rasa aku kebudak-budakan, bertindak begini. Ah! lantak dialah nak fikir apa.
Ayu berlalu menuju kebiliknya.Hari ni hari minggu, bolehlah berehat-rehat. Dia merebahkan badannya kekatil. Surat biru yang diterimanya semalam, direnung lagi. Bertaip cantik. Sukar untuknya mengagak siapa gerangan yang menghantarkannya.
Sekuntum mawar merah….
Dikelopakmu tertulis lagu
Kususun madah
Kugubah indah
Cantikmu tiada mewangi
Warnamu sebagai penyeri
Mawar berduri
Padamu ku damba rasa
Tertusuk jari kutahan jua
Siapa gerangan pengirim warkah yang membuatnya tak keruan. Aiman? Tak mungkin. Dia hanya tahu menghibur hati dengan perangai gila-gilanya, bukan dengan cara begini.
Siapa agaknya……? Hmm.. Walau siapa penulisnya, aku tahu dia telah menjerat hatiku yang kini retak seribu.
Semakin direnung, semakin gatal hatinya ingin tahu siapa orangnya? Apa maksudnya? Apa mahunya?
Pertanyaan demi pertanyaan memenuhi benaknya. Serentak itu, wajah Aiman kembali menerpa. Dia cuba mengusirnya jauh namun bayangan itu tetap ada menghantuinya.
Salahkah aku dibuai rasa? Salahkah aku memikirkan orang lain selain dia? Layakkah aku menyimpan angan bersama Aiman sedang dihatinya aku tak pernah ada?
Saban minggu dia dihujani warkah-warkah bermadah pengirim yang sama. FLIK. Hanya itu sebagai pengenalan. Siapakah dia tak penting lagi. Yang penting kini, dihatinya ada pesta bunga api…….
Lewat kebelakangan ini Aiman semakin jauh dari fikiran. Dia cuba membuang sisa kenangan lama, cuba memadam kasihnya pada Aiman. Biarlah antara mereka hanya ada ikatan sayang seorang adik dengan abangnya. Tak lebih. Kehadiran surat itu sudah cukup membuatnya menyedari bahawa didunia ini sesetengah perkara tak boleh dipaksa. Sepertimana dia tak mahu lagi mengharapkan Aiman kembali menagih cinta darinya. Biarkan semuanya berlalu. Mungkin semua orang akan menganggapnya gila jika tahu dia jatuh cinta hanya pada kepingan kertas-kertas yang tak bereti apa-apa. Tapi kertas-kertas itu cukup berharga baginya, punya seribu makna.
“Maafkan abang andai hatimu pernah terluka. Maafkan abang, Ayu” Aiman memulakan bicara.
Sudah lama hati ini memaafkanmu. Lupakanlah apa yang pernah terjadi antara kita. Kita tak serasi bersama Aiman.
.“Terimalah abang kembali” Mungkin dulu, dia akan menangis terharu mendengar butir bicara itu. Tapi tidak sekarang. Sayangilah aku layakknya seorang abang, Aiman. Aku tak mahu terluka lagi dikemudian hari.
“Ayu tak boleh mencintai abang seperti dulu. Ayu tak sanggup.” Dia menyuarakan apa yang terbuku dihati. Biarlah, dia pasti faham. Tak guna bersama andai hatinya kini pada yang lain.. Padanya hanya FLIK didalam angan. Walau tak pernah bersua, tapi hatinya mengata cinta. Luahan rasa pada helaian kertas itu membuatnya tahu sipenulis juga menyimpan rasa yang sama.
Bodohnya engkau, Ayu! Kenapa menolak lagi? Bukankah cinta sudah terbukti?
Ah! Aku tak mahu menerimanya lagi. Apa gunanya? Untuk terluka kali kedua? Ku akui hati ini masih ada secebis cinta buatnya tapi kini penulis misteri itu juga bertakhta.
Jangan tamak, Ayu. Dapat yang ini, kau harus lupa yang satu.
Aku keliru, jalan yang mana harus ku ikut sekarang…..
“Kerana dia?” Ayu tersentak dari lamunan.
“Dia siapa?” Dia merenung tajam wajah Aiman seakan mencari jawapan. Adakah dia tahu?
“Dia ….! Yang memiliki hatimu ”
“Dia memahamiku” Dia cuba tidak memandang Aiman yang tercegat dihadapannya.
Aku dan dia tiada beza, kami sama. Ayu..Kenapa kau tak mengerti?
“Aku adalah dia. Akulah yang kau puja” Kebenaran kini dihadapan mata. Ayu seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Benarkah ini atau hanya satu lakonan untukmu memenangiku?
Aiman membuka segala cerita. Dialah orangnya yang sering menghujani Ayu dengan surat-surat itu. Dia sekadar menguji kekuatan cinta Ayu Dia mahu Ayu menyinta bukan kerana terhutang budi pada keluarganya atau pun kerana sayang pada abangnya. Dia mahu menyayangi Ayu bukan kerana sayang seorang abang. Bertahun bersama telah membuatnya keliru antara hubungan keluarga dan saling memerlukan. Salahkah ia membuat Ayu terluka sekadar untuk menguji sedalam mana cinta mereka? Kini dia cukup mengerti….
Inikah namanya cinta? Mempermainkan perasaan dan mengecewakan? Aku tak sanggup lagi dipermainkanmu. Cukuplah hati ini diluka. Biarlah aku pergi………
Dalam bercinta, kita harus saling percaya. Ini bukan caranya.
Ayu melangkah pergi dengan linangan air mata..
“Ayuuuuu…….” Dia terus melangkah tanpa menoleh lagi. Jeritan Aiman tidak dipedulikan.
“Akuuuu masiiiiihhh cintttaaa” Biar seribu kali kau ucapkan, namun hati ini takkan menyerah lagi. Biarkan, aku pergi.
Untuk mendambakan pelangi cinta lagi bukan aku orangnya……
“Selamat tinggal Aiman!”
Sekali hati terluka, seribu kali ku terasa. Kita tak mungkin bersama, walau cinta masih ada…….